Tuesday, 11 June 2013

IDT3,,,JOM BERDAKWAH

Assalamualaikum..
Pada 8 dan 9 june yang lepas Persatuan Mahasiswa Islam AUCMS (AISA) menghantar beberapa peserta untuk mengikuti satu program ‘Interaktif Dakwah Training’ untuk fasa yang ke-3 yang bertempat di Institut Al-Qayyim , Mengkuang , Bukit Mertajam. Program ini berlangsung daripada 9 pagi sehingga 5 petang. Program IDT3 ini adalah lanjutan daripada program IDT fasa 1 dan 2 yang mana turut disertai oleh para pelajar daripada AUCMS di bawah kelolaan AISA sendiri.
Hari Pertama:
IDT3 ini di sampaikan oleh penceramah-penceramah yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbandingan agama. Pada hari pertama iaitu hari sabtu (8 jun), pengisian telah di sampaikan oleh Brother Mohd Amin Yackoob . Pengisiannya adalah berkenaan ‘Fiqh Aulawiyyat’ (fiqh keutamaan). Topik ini membincangkan segala jenis hukum hakam, amal dan nilai-nilai dalam Islam. Segala perkara yang terikat dengan fiqh Al Aulawiyat ia harus didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak wajar dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan terutamanya yang berkaitan dengan muallaf. Sebagai contoh situasi yang di berikan adalah apabila ada saudara baru yang hendak memeluk Islam tetapi belum bersedia untuk menghebahkan pengislamannya atas faktor-faktor tentangan daripada pihak keluarga. pada masa yang sama saudara itu masih lagi tinggal bersama keluarga yang mengamalkan cara hidup agama lamanya. Menurut kaedah fiqh Aulawiyyat, Islam membenarkan si saudara baru ini untuk tetap menyembunyikan keislamannya jika nyawanya terancam biarpun masih dengan cara hidup agama lamanya selagi keimanan dalam hatinya mengakui ALLAH itu Tuhan yang satu dan Muhammad itu pesuruh ALLAH. Sehinggalah sampai untuk suatu tempoh yang di yakini sesuai untuk si saudara baru itu mengamalkan cara hidup seorang yang Islam.
Pengisian seterusnya adalah daripada Brother Firdaus Wong Wei Hong. Beliau menjelaskan kepada para peserta IDT3 tentang bimbingan mualaf. Antara yang paling penting sepanjang membimbing mualaf ini adalah niat yang ikhlas. Selain itu, dalam mendalami dakwah yang perlu ada juga adalah ilmu. Menurut brother Firdaus, ilmu itu patut di cari, di fahami, di amal dan disebarkan. Seterusnya beliau menerangkan juga tentang sifat keperibadian yang baik seperti bersifat jujur dan berakhlak baik yang mana sifat ini menjadi cermin kepada golongan bukan Islam untuk melihat akan Islam yang sebenarnya. Sempat juga di selitkan dengan beberapa kata-kata yang begitu dalam maksudnya iaitu “tegas dalam Akidah dan luas dalam fekah” yang dipetik daripada Dr. MAZA. Seterusnya perkongsian mengenai teknik dan kaedah mengajar oleh Brother Firdaus. Menurut beliau, sebelum memulakan pengajaran perkara yang perlu dilakukan oleh setiap para pengajar adalah mempersiapkan pelajar-pelajar mereka. Tenaga pengajar haruslah menjadi seorang yang 'gempak' untuk menarik minat pelajarnya. pelajar-pelajar juga haruslah dalam keadaan diam dan tenang. para pelajar juga harus dipastikan menyediakan buku nota untuk mencatat segala isu yang di bincangkan. seterusnya , perlu memastikan keadaan sekeliling bebas daripada sebarang gangguan. Beliau juga memberikan tips yang mudah dalam menuntut ilmu dengan kata kunci 'lick & kiss'.
LICK & KISS
L- loud (kuat)
I- Intonation (Intonasi)
C- Clear (Jelas)
K- KISS (Keep It Short & Simple)
Bagi slot seterusnya, Bro Amin telah menyampai slot yang berkaitan Tauhid. Kalimah tauhid membawa pengertian mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT) semata-mata. Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah itu meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan perbuatan. Beliau menjelaskan bahawa Tauhid mempunyai 3 pembahagian iaitu Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma' Wasifat. Tauhid Uluhiyyah membawa maksud beri’tiqad bahawa Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam. Tauhid al-Uluhiyyah pula bermakna menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan yang sentiasa dipatuhi. Tauhid Asma Wa Sifat Mengimani dan menetapkan apa yang sudah ditetapkan Allah di dalam Al Quran dan oleh Nabi-Nya di dalam hadits mengenai nama dan sifat Allah tanpa merubah makna, mengingkari, mendeskripsikan bentuk/cara, dan memisalkan. Dalam menyampaikan risalah Islam kepada golongan bukan Isam, penekanan dalam aspek Tauhid adalah lebih penting berbanding aspek fekah.
Slot seterusnya disampaikan oleh Dr. Zainal Muhammad. Beliau menerangkan tentang definisi muallaf yang sebenarnya iaitu sesiapa sahaja yang belum memeluk Islam tetapi sudah mula untuk mendekatkan diri untuk mengenali Islam itu sendiri. Definisi yang sebenar bagi golongan yang telah lama memeluk Islam perlu diperbetulkan daripada Mualaf kepada Mukallaf. Beliau juga menerangkan berkaitan dakwah kepada Orang Asli. Dalam mendakwahi orang asli para pendakwah perlu membuat perancangan yang rapi. Beliau juga memberikan beberapa kaedah dalam mendekati dan menarik mereka. Antaranya :
Makan bersama
keluarga angkat
ziarah menziarahi
klinik kesihatan
sukaneka
pendidikan dan motivasi
gotong-royong
lawatan
Beliau juga memberikan satu kata-kata yang cukup menyentuh hati para peserta dengan mengatakan " bila
kita dapat membuka isi hati seseorang terhadap Islam itu lebih baik daripada dunia dan seisinya". Justeru, sebagai seorang yang menjalankan kerja dakwah , tugas kita hanya sebagai penyampai risalah Islam kepada golongan yang sepatutnya. Sama ada di terima atau pun tidak risalah yang di bawah itu adalah bergantung kepada hidayah yang di miliki oleh ALLAH SWT.
Hari Kedua:
Pada hari berikutnya iaitu hari ahad, program IDT3 diteruskan seperti yang dirancang dengan penceramah yang baru. Iaitu Brother Lim Jooi Soon dan Brother Kamaruzaman. Slot yang pertama dimulakan oleh Bro Kamaruzaman dengan menyampaikan slot berkaitan cabaran-cabaran dakwah kepada golongan mualaf. Selain menyampaikan Islam kepada mereka, dan cabaran-cabaran selepas pengislaman golongan mualaf. Keadaan ini menuntut golongan yang menceburi bidang dakwah ini untuk bersedia bukan sahaja dari segi fizikal dan mental malah masa , kewangan dan perlu membetulkan 'mindset' merka berkaitan hal ini. Sebagai contoh yang brother Kamaruzaman berikan adalah golongan mualaf ini akan berhadapan dengan pelbagai masalah seperti masalah daripada pihak keluarga dan kewangan. Justeru, sebagai pendakwah, seharusnya bersiap sedia untuk meng'handle' situasi yang berlaku ini tidak kira apa jua waktunya dan keadaannya. Tambah beliau lagi, dalam kebanyakan kes golongan mualaf ini akan di pinggirkan oleh keluarga masing-masing. Jadi, tugas sebagai pendakwah tidak hanya terhenti setakat mengislamkan mereka sahaja tetapi harus berterusan lebih daripada itu. Mereka haruslah di bimbing dengan baik dan dididik mengenai segala yang berkaitan dengan Islam sama ada fardu ain dan fardu kifayah seusai dengan tahap-tahap mereka. Beliau juga berkongsi pengalaman beliau sepanjang mengendalikan muallaf yang lebih daripada 50 buah keluarga. Semoga Allah merahmati beliau.
slot seterusnya adalah daripada Brother Lim Jooi Soon. Beliau memberikan perkongsian berkenaan masalah yang di hadapi oleh golongan mualaf sebelum/semasa/selepas memeluk Islam. Dalam slot ini beliau menerangkan pelbagai halangan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan muallaf ini ketika hendak memeluk Islam yang mana halangan tersebut juga datangnya daripada orang Islam itu sendiri. Antaranya adalah 'mindset' orang Islam di Malaysia yang begitu 'asing' apabila melihat orang bukan melayu ketika memberi salam, masuk ke masjid dan lain lain lagi. Dalam pada itu, urusan birokrasi juga sering menyukarkan proses pendaftaran pengislaman golongan muallaf ini. Hal ini kerana kebanyakan kaki tangan- kaki tangan di pejabat agama kurang akan pengalaman dalam mengendalikan saudara baru ini. Sebagai contoh apabila ada saudara baru yang datang ke pejabat agama untuk mendaftarkan diri sebagai seorang yang Islam, ada segelintir pegawai yang meminta saudara baru itu sendiri untuk membawakan saksi! Walhal, saksi bukanlah satu hal yang wajib untuk memeluk Islam. Brother Lim Jooi Soon juga menambah tentang dokumen-dokumen yang diperlukan bagi pendaftaran saudara baru ini . Antaranya adalah salinan kad pengenalan, 4 keping gambar. Dalam proses itu, pihak kakitangan juga haruslah tahu bagaimana hendak menerangkan Islam dengan ayat yang mudah difahami oleh mualaf supaya mereka dapat melihat bahawa Islam itu adalah agama yang mudah. Brother Lim seterusnya menyambung lagi dengan pelbagai karenah yang diberikan oleh umat Islam kepada saudara baru ini selepas mereka memeluk Islam. Penulis merasakan cukup geram saat mendengarkan luahan daripada brother yang mana beliau turut mengalaminya.
Slot yang seterusnya di sampaikan oleh Bro Kamaruzaman yang berkisarkan proses mengislamkan saudara baru. Slot kali ini lebih menjurus kepada praktikal yang mana para peserta dikehendaki membentuk kumpulan yang terdiri daripada 4 orang. Dalam kumpulan tersebut, setiap peserta akan di beri watak menjadi saudara baru, saudara Islam, dan 2 orang saksi. Mereka akan melakukan secara serius akan proses mengucap syahadah. Peserta akan melakonkan bagaimana saudara baru ini membaca syahadah sambil bejabat tangan dan di saksikan oleh beberapa saksi.Sambil memberikan kaedah yang betul dalam proses tersebut , bro Kamaruzaman dan bro Lim turut membimbing peserta bagaimana hendak memudahkan proses itu berjalan. Bro kamaruzaman turut menambah, saudara mualaf yang hendak memeluk Islam mempunyai banyak hal yang bermain di fikiran mereka. Justeru, sebagai saudara Islam kita perlu memudahkan mereka dan memberikan sedikit penjelasan berkaitan Islam kepada mereka. Sejurus selepas slot demikian, Bro Lim membuat sedikit ucapan penutup bagi IDT fasa ke-3 ini. Harapan kepada para peserta yang datang supaya dapat berkongsikan ilmu yang diperolehi sepanjang dua hari di Institut Al-Qayyim , Bukit Mertajam ini kepada kawan-kawan yang tidak dapat datang.
Lebih kurang pukul 5.30 petang, para peserta daripada AUCMS bertolak pulang ke hostel masing-masing .

No comments:

Post a Comment